Skip to main content

Nationwide protest 1947 has set the example for Malaysia to follow today

60 tahun selepas Hartal
  • Amin Iskandar
  • 12:48PM Okt 24 2007
 
20 Oktober adalah satu tarikh "Keramat" yang seharusnya diingati dan dikenang oleh rakyat Malaysia kerana 60 tahun yang lalu, pada 20 Oktober 1947, telah berlaku satu peristiwa bersejarah yang menyaksikan rakyat di Malaya menggunakan kekuatan demokrasi mereka. 

Peristiwa ini telah mengubah lanskap politik di Malaya yang sekarang ini dikenali sebagai Malaysia. Pada ketika itu, Pusat Tenaga Rakyat (PUTERA) dan All Malayan Council of Joint Action (AMCJA) telah melancarkan Hartal diseluruh Malaya untuk membantah Perlembagaan PersekutUan yang diusulkan oleh Penjajah British untuk Malaya. 

Mengapa PUTERA-AMCJA membantah Perlembagaan Persekutuan yang diusulkan oleh Penjajah British? 

Alasannya mudah. Sesebuah negara yang merdeka perlulah mempunyai Perlembagaan yang ditulis oleh rakyatnya sendiri. Perlembagaan yang ditulis haruslah mencerminkan aspirasi rakyat yang merdeka dan bukannya mengekalkan kepentingan penjajah. 

Secara logiknya, jika kita benar-benar merdeka, mengapa Perlembagaan Persekutuan perlu didraf oleh penjajah? Apakah penjajah British benar-benar ikhlas untuk memberi kemerdekaan atau mahu meneruskan penjajahan dalam bentuk baru? 

Apakah yang dimaksudkan dengan Hartal? 

Hartal (juga sebagai Hartaal) adalah satu terma yang digunakan di India untuk mengambarkan tentang tunjuk perasaan ataupun bantahan yang digunakan secara meluas dalam perjuangan rakyat India untuk menuntut kemerdekaan dari penjajahan British. 

Mogok umum 

Hartal adalah mogok umum yang melibatkan pemboikotan bekerja dan melakukan urusan harian secara total. Apabila berlakunya Hartal, semua tempat-tempat berjalannya urusan harian seperti pejabat, kedai runcit, kedai makan, mahkamah, akan ditutup. 


Hartal adalah salah satu bentuk "civil disobedient" yang dilakukan untuk menuntut sesuatu perkara ataupun membantah sesuatu perkara. Ia adalah satu tindakan untuk menuntut kerajaan, pemerintah ataupun penjajah untuk menukar sesuatu keputusan yang tidak popular ataupun menindas rakyat. 

Baru-baru ini, Fahmi Reza seorang aktivis dan pekerja seni telah memenangi salah satu anugerah dalam Freedom Film Festival 2007. Filem dokumentarinya yang bertajuk "Sepuluh Tahun Sebelum Merdeka" menceritakan peristiwa politik yang berlaku di Malaya pada ketika itu.
Dokumentari yang menceritakan tentang perjuangan bersejarah PUTERA-AMCJA ini juga turut memuatkan temuramah dengan lima orang tokoh seperti Yahya Nassim dari Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM), Zainuddin Andika dari Angkatan Penuda Insaf (API), Majid Salleh dari Johore State Federation of Trade Unions (JSFTU),Hashim Said dari Angkatan Pemuda Insaf (API) dan Lim Kean Chye dari Malayan Democratic Union (MDU). 
Dalam temuramah dengan lima orang tokoh ini, mereka telah menceritakan tentang perstiwa bersejarah Hartal yang telah menggemparkan penjajah British dan mempopularkan Perlembagaan Rakyat yang diusulkan oleh PUTERA-AMCJA. 

Perlembagaan Rakyat yang progressif dan adil kepada semua kaum, telah diserang secara habis-habisan oleh penjajah British dengan menggunakan media dan kemuncaknya apabila darurat diisytiharkan. 

Dengan menggunakan alasan memerangi komunisme, British telah menangkap dan memenjarakan ramai tokoh politik kiri dan mengharamkan PKMM, API, AWAS, GERAM, MDU dan beberapa lagi pertubuhan politik progresif tanahair. 

Dokumentari Fahmi Reza 
Sepuluh tahun selepas Hartal, kemerdekaan negara telah diberikan oleh penjajah British kepada Umno, MCA dan MIC dalam keadaan darurat masih lagi berjalan. Undang-undang darurat itu telah ditukar namanya kepada Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada tahun 1960 dan masih lagi digunakan oleh kerajaan Malaysia sehingga hari ini. 

Mujurlah masih ada anak muda yang cintakan sejarah. Usaha beliau membuat penyelidikan yang rapi dan akhirnya berjaya menghasilkan sebuah dokumentari yang padat dengan fakta-fakta sejarah yang tidak diberi tempat di media-media arus perdana dan buku teks sejarah. Untuk maklumat yang lebih lanjut mengenai dokumentari ini, sila layari blog Fahmi Reza di http://10tahun.blogspot.com. 

Enam puluh tahun selepas Hartal dan 50 tahun selepas merdeka, rakyat Malaysia masih lagi membincangkan mengenai kebebasan bersuara, kebebasan berpersatuan, kebebasan media, perpaduan kaum, sensitiviti agama, pilihanraya yang bebas dan banyak lagi isu-isu yang telahpun dibincangkan 60 tahun yang lalu. 

Peristiwa seperti Tragedi Batu Buruk pada 9 September 2007 di Terengganu di mana dua orang awam ditembak oleh polis dengan menggunakan peluru hidup, mengingatkan saya satu babak dalam filem "The Legend of Bhagat Singh" di mana perhimpunan aman untuk menuntut kemerdekaan yang dianjurkan oleh pejuang kemerdekaan di India, telah diganasi oleh penjajah British dengan tembakan. 

Memang benar, pada hari ini jumlah bangunan yang ada di Malaysia jauh lebih banyak daripada apa yang ada pada zaman penjajahan. Kalau dilihat dari luaran, Malaysia adalah antara negara membangun yang berkembang dengan pesat dan cepat. 

Tetapi realiti kehidupan majoriti rakyat Malaysia pada hari ini yang dibebani dengan harga barang keperluan yang tinggi sedangkan pendapatan rendah, menyebabkan hanya segelintir rakyat kelas atasan yang merasai nikmat kemakmuran ekonomi selepas merdeka. 

Situasi ini tidak banyak bezanya dengan kehidupan di zaman penjajah dahulu. Pada waktu itu, majoriti rakyat Malaya hidup dalam kesusahan dan hanya golongan atasan yang mengecapi kemakmuran ekonomi. 

Semangat Hartal 

Dari segi demokrasi pula, tahun 1947 jauh lebih demokratik daripada situasi di Malaysia pada hari ini. Pada ketika itu, untuk menubuhkan sesuatu persatuan atau parti politik tidaklah sesukar hari ini. Hari ini kita dibebankan dengan birokrasi dan syarat-syarat yang ketat oleh Pendaftar Pertubuhan. 

Media juga bebas untuk melaporkan peristiwa-peristiwa yang berlaku walaupun ianya bertentangan dengan penguasa. Sebagai contoh Peristiwa Hartal pada 20 Oktober 1947 telah diberikan laporan muka hadapan oleh Utusan Melayu ketika itu. Ini sudah tentu tidak berlaku jika sekali lagi Hartal dilakukan pada zaman ini.

Peristiwa Hartal yang dianjurkan oleh PUTERA-AMCJA 60 tahun yang lalu telah membuktikan bahawa dengan menggunakan pendekatan yang aman, rakyat mampu menujukkan kekuatan.Yang penting ialah sesuatu isu itu harus jelas diperjuangkan tanpa politiking sempit yang mampu memecah belahkan.

Tanpa adanya kemudahan komunikasi yang hebat seperti hari ini, seperti internet, telefon bimbit, Poslaju dan faks, Hartal telah berjaya dilakukan di seluruh Malaya.

Semangat Hartal harus terus dihidupkan kembali agar perjuangan untuk menuntut demokrasi sejati di Malaysia akan berjaya satu hari nanti. 







Comments