Open letter to Sharifah Zohra Jabeen
SURAT TERBUKA PROJEK DIALOG YANG HANGAT DIPERBINCANGKAN, DI POS DI SINI BAGI MEMUDAHKAN PERKONGSIAN DI FACEBOOK
Surat Terbuka Kepada Sharifah Zohra Jabeen Syed Shah Miskin
Oleh Zul Fikri Zamir Mohamad Munir
“Some things you must always be unable to bear. Some things you must
never stop refusing to bear. Injustice and outrage and dishonor and
shame. No matter how young you are or how old you have got. Not for
kudos and not for cash: your picture in the paper nor money in the back
either. Just refuse to bear them.” William Faulkner, Intruder in the
Dust.
SAYA rasa terpanggil untuk menulis kepada Saudari setelah
menonton sebuah klip Youtube bertajuk ‘Forum Suara Mahasiswa Part 4’
bertajuk ‘Seiringkah Mahasiswa Berpolitik’ yang telah dimuat naik oleh
TvMyMahasiswa pada 9 Januari 2013.
Untuk pengetahuan Saudari,
saya adalah mahasiswa pasca-ijazah dalam bidang Pengajian Masa Depan di
Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya. Selain terganggu dengan ‘ikrar
mahasiswa’ untuk ‘menentang demonstrasi jalanan, anasir luar yang
menjadi barah’ dan pelbagai terma pelik yang tidak pernah saya ikrarkan
ketika mengambil ijazah sarjana muda dahulu, saya lebih tertarik untuk
mengulas mengenai komen Bawani kepada Saudari.
Universiti atau Tadika?
Bawani memulakan komen beliau dengan bertanya kepada Saudari mengenai
tuduhan terhadap Ambiga (Pengerusi bersama Bersih) sebagai pencetus
anarkis di Malaysia dan Pak Samad sebagai pencetus kepada orang-orang
gila yang membuat demonstrasi jalanan. Beliau kemudiannya menjelaskan
kepada sidang dewan mengenai pergerakan Bersih yang menurutnya sah di
sisi undang-undang serta sebuah gerakan non-partisan.
Perkara
pertama yang tidak saya fahami ialah mengapa Saudari perlu turun ke
bawah dewan untuk berhadapan dengan Bawani? Adakah sudah menjadi
kebiasaan di Universiti Utara Malaysia (UUM, lokasi forum ini diadakan)
panelis akan turun dan ‘confront’ audien secara berhadapan? Dalam sebuah
forum di negara yang matang saya tidak fikir ‘intimidation’ sebegini
perlu.
Kemudian Bawani meneruskan komen beliau dengan memberi
contoh negara seperti Argentina, Venezuela dan Brazil yang dikatakan
memberi pendidikan percuma kepada rakyatnya bermula dari prasekolah
sehingga kepada ijazah pertama. Seterusnya Bawani memperkatakan mengenai
keupayaan PTPTN melalui matematik mudahnya iaitu peruntukan sebanyak 10
bilion daripada keseluruhan 200 bilion perbelanjaan Persekutuan dengan
memberi contoh Cuba sebagai negara yang pernah melakukannya. Lebih
menarik Bawani melakukannya dengan membentangkan tahap literasi Cuba
sebagai yang tertinggi di dunia.
Kemudiannya situasi menjadi
lebih menarik. Bawani membentangkan GDP Cuba (saya tertanya-tanya apakah
jurusan pengajian saudari Bawani?) namun malangnya ketika saya teruja
untuk mendengar hujah lanjut Bawani, hujah beliau disambut dengan 10
kali lafaz ‘Listen’ oleh Saudari! Soalan kedua saya ialah, berapa minit
komen yang diberikan kepada audien untuk bertanya soalan serta apakah
tindakan ini dilakukan semata-mata untuk menutup keupayaan hujah Bawani?
Sebagai ahli akademik saya percaya kepada kebebasan berhujah
dan berbeza pendapat. Saya percaya kewibawaan Saudari akan lebih
dihormati sekiranya hujah dibalas hujah, bukan hujah dibalas ‘Listen’.
Lebih ironi, Saudari kemudiannya mengucapkan ‘Let me speak’ sehingga 7
kali! Saya begitu hairan, dalam bidang pedagogi selalunya perkataan
diulang-ulang digunakan hanya untuk anak-anak prasekolah, bukan
mahasiswa dengan fakta literasi dan GDP. UUM ini universiti atau tadika?
Hujah vs hujah
Seterusnya saya tidak berminat untuk mengulas mengenai hujah balas
Saudari kepada Bawani mengenai ‘When I speak, you listen’, ‘jangan
samakan negara lain dengan Malaysia’, ‘apa yang kamu buat di Malaysia,
go to Cuba, go to Argentina, go to Libya’ (Libya?), ‘you must understand
what is democracy, you must understand – what is perhimpunan lebih dari
3 orang di sesebuah tempat’, ‘animals have problem’, ‘kucing ada
masalah’, ‘anjing boleh menggonggong’, ‘lembu kambing ada masalah’,
‘kita manusia lebih rakus daripada ikan’, ‘and you tau tak binatang apa
yang paling banyak sekali masalah?’, ‘pernah makan shark finn?’ atau
‘you are very much to go to another university’.
Saya tidak
nampak kaitan fakta yang dibentangkan oleh Bawani bermula dari jumlah
perbelanjaan negara serta idea untuk pendidikan percuma sehingga kepada
GDP negara Cuba dengan jawapan Saudari seperti ‘pernah makan shark
finn?’. Saya cuma terkesan apabila Bawani cuba menggunakan bahasa Melayu
asas dengan saudari, saudari balas dengan bahasa Melayu rojak.
Saya
fikir bukan ini caranya seseorang dengan status ‘degree holder’ seperti
Saudari berhadapan dengan mahasiswa seperti Bawani. Saya sendiri tidak
berapa setuju dengan hujah Bawani. Faktor sosial, budaya dan georgrafi
negara kita sangat berlainan dengan Cuba dan tidak memungkinkan
perumpamaan mudah GDP untuk digunakan sebagai hujah.
Walaubagaimanapun saya percaya Malaysia sedang mengalami fasa-fasa
menuju kematangan demokrasi. Oleh yang demikian di dalam sebuah
universiti yang subur budaya ilmu dengan golongan intelek dan
terpelajar, hujah perlu dijawab dengan hujah, bukan dengan ‘When I
speak, you listen!’.
Fungsi Mahasiswa
Saya kini dengan
rendah diri ingin mengajak Saudari kembali merenung fungsi golongan
mahasiswa. Saya percaya ilmu yang terbaik ialah ilmu yang kembali kepada
masyarakat. Oleh yang demikian graduan yang paling bermanfaat ialah
graduan yang kembali ke masyarakat untuk menyelesaikan 1001 masalah
negara.
Dalam Indeks Kebebasan Media, kita berada pada kedudukan
122, di bawah Sudan dan Congo. 10 tahun kebelakang ini berdasarkan Bank
Dunia, kenaikan gaji purata rakyat Malaysia hanyalah 2.6% di belakang
kadar inflasi iaitu 2.8%. Data Epu/HIS menyatakan jurang pendapatan di
kalangan rakyat semakin meningkat dengan 52.8% isi rumah memperoleh
pendapat kurang daripada RM 3000 sebulan.
Kedudukan Malaysia di
dalam indeks pendidikan antarabangsa seperti PISA dan juga TIMSS juga
turun mendadak (PISA 2009, 55 daripada 74 negara; TIMSS 2011 – Matematik
daripada 519 kepada 440, Sains daripada 492 kepada 426). Inilah masanya
untuk kita gunakan mahasiswa sedia ada dalam bidang masing-masing
samada pendidikan, ekonomi mahupun sains sosial untuk berdebat dan
berhujah tentang masalah-masalah tersebut.
Sebagaimana yang
pernah saya tulis sebelum ini, ketakutan saya ialah apabila mahasiswa
yang ada kini sibuk bermain Dota, Facebook, menonton Raja Lawak atau
sibuk memuat turun siri kegemaran drama Korea. Graduan harus berfikir
lebih jauh daripada kerja, kahwin, beli kereta, rumah dan ‘settle down’.
Fungsi mahasiswa yang sebenar ialah melibatkan diri dengan
keputusan kerajaan serta memperkasa masyarakat dengan melengkapkan
mereka dengan isu semasa, masalah sosial, isu masyarakat marginal serta
golongan tertindas. Golongan terpelajar ini kelak akan memimpin negara,
seharusnya asas perjuangan mereka sejak dari awal diletakkan lebih besar
dari berkhidmat kepada diri sendiri.
Apa selepas ini?
Saya
tidak menulis mewakili Bawani. Jauh sekali mewakili mana-mana gerakan
mahasiswa dalam negara. Saya hanya menjalankan tanggungjawab kerana rasa
terpanggil akibat status saya sebagai mahasiswa juga. Dan semestinya
lorong menggerakkan mahasiswa dan perubahan itu pelbagai. Saya setuju
tidak semestinya gerakan mahasiswa itu terdorong untuk berjuang atas
‘politik-merengek’ sahaja, baring-baring atas jalan raya, demonstrasi
ataupun berkhemah di Dataran Merdeka.
Tetapi saya juga percaya
gerakan yang sama juga tidak akan terbina hanya melalui lawatan ke rumah
anak yatim, rumah angkat di kawasan pedalaman (tanpa meremehkan
prorgram terbabit) ataupun program-program dalaman universiti ala-ala
sambutan tahun baru yang membosankan. Saya percaya asas kepada
perjuangan mahasiswa ini ialah ilmu dan sikap. Saya menjemput Saudari
untuk membaca karya Ali Shariati khususnya makalah ringan ‘Ideologi Kaum
Intelektual’. Namun jika Saudari begitu sibuk dengan persatuan ‘Suara
Wanita 1 Malaysia’, saya sedia meminjamkan buku tersebut untuk dibaca
oleh saudari.
Saya juga percaya sebenarnya banyak forum-forum
sebegini diadakan di seluruh negara namun mereka bijak kerana tidak
memuat naik ke atas talian. Malah perkara yang paling sedih dan
memalukan ialah sikap mahasiswa di dalam dewan yang bertepuk tangan dan
menjerit menyatakan sokongan ketika Sharifah memalukan Bawani dengan
serangan peribadi. Berbanding dengan kemarahan warga Internet melalui
Twitter dan Facebook; saya melihat jalan ke hadapan mahasiswa untuk
berubah masih panjang dan penuh ranjau. Bayangkan dalam dewan dengan
2300 warga mahasiswa, mereka hanya mampu memeluk diri, tersenyum dan
menepuk tangan ketika Bawani diperlakukan sedemikian rupa di dalam
institusi pengajian tinggi mereka.
Untuk Saudari Sharifah, saya
menunggu balasan daripada Saudari. Mungkin jika Saudari berkelapangan
saya akan usahakan agar sebuah forum lanjutan dapat diadakan di Fakulti
Pendidikan, Universiti Malaya untuk menggalakkan penggunaan akal, etika
dan anti korupsi di kalangan mahasiswa 1 Malaysia.
Saya akhiri surat ini dengan bait dari Buya Hamka;
Kalau hidup sekadar hidup,
babi di hutan juga hidup.
Kalau bekerja sekadar bekerja,
kera di hutan juga bekerja.
Izinkan saya menyambung sedikit kiasan Buya Hamka di atas;
Kalau mahasiswa setakat belajar,
Lembu di padang juga belajar.
(Selain belajar untuk membuang air, lembu juga belajar untuk membiak)
* Zul Fikri Zamir Mohamad Munir ialah kolumnis di The Malaysian Insider
serta Co-Founder Teach For The Needs (TFTN), sebuah gerakan aktivis
pendidikan yang boleh dicapai di www.teachfortheneeds.org
- Get link
- X
- Other Apps
Comments