Friday, August 8, 2014

Because of the Crisis in Selangor, this happens



Terowong Dasar Laut - Penjelasan Tuduhan Fitnah

Oleh : Nasrudin bin Hassan

1. Kenyataan saya tempoh hari sekadar mempersoalkan kenapa wujudnya perbedaan sikap pada segelintir pimpinan Pakatan Rakyat (PR) sewaktu menjadikan isu KIDEX sebagai justifikasi untuk menjatuhkan Tan Sri Khalid Ibrahim di Selangor sedangkan di hadapan kita terdapat juga isu seperti Projek Pembinaan Terowong Dasar Laut di Pulau Pinang yang tidak kurang kontroversinya. Seolah - olah terdapat sikap favoritism dan opportunis demi mencapai matlamat tertentu yang sempit.

2. Projek Pembinaan Terowong Dasar Laut Pulau Pinang dijadikan contoh kerana di sana juga terdapat beberapa isu yang boleh dipersoalkan sebagaimana isu KIDEX turut dipersoalkan. Apatah lagi fakta yang dikemukakan untuk mengkritik KIDEX masih banyak pula yang boleh dipersoalkan. Malah banyak pihak yang tidak bersetuju dengan tahap ketelusan Projek Pembinaan Terowong Dasar Laut Pulau Pinang dan ia telah disuarakan sejak suku kedua tahun 2013.

3. Kenyataan saya tempoh hari adalah dari dapatan dan data awam sebagai asas persoalan yang diketengahkan mengenai isu Penang Tunnel tersebut. Justeru itu dakwaan kononnya saya melakukan fitnah dan pembohongan adalah tidak berasas sebagaimana yang disebut oleh YAB Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng.

4. Projek ini merupakan satu "rundingan terus" kerana ianya tidaklah mengamalkan tender terbuka sepenuhnya dalam ertikata sebenar.

5. Sebagai contoh, berasaskan kenyataan Exco Kerajaan Negeri Pulau Pinang YB Lim Hock Seng selaku Pengerusi Jawatankuasa ‘Public Works, Utilities and Transport’ Pulau Pinang pada 15 March 2013 seperti yang dipetik oleh akhbar tempatan, ianya adalah tender yang melalui proses pre-qualification dan saringan yang lebih mirip kepada jenis tender secara terpilih (managed tender) dan bukannya tender terbuka (open tender). Malah isu yang lebih besar ialah timbul persoalan bagaimana Kerajaan Pulau Pinang boleh menandatangani MoU (disaksikan YAB PM Najib) dengan Beijing Urban Construction Group Co. Ltd (BUCG), salah satu rakan utama konsortium yang memenangi projek Penang Tunnel ini pada 28 April 2011 sedangkan proses pre- qualification tender kerajaan negeri hanya bermula lebih 6 bulan selepas MoU iaitu pada 14 November 2011? Apakah kerajaan Pulau Pinang sebenarnya telah pun memilih pemenang kontrak mega ini sebelum proses tender bermula ? Saya kira sesiapa sahaja yang biasa dengan resam perlaksanaan kontrak dan projek boleh merumuskan bahawa ini bukanlah satu proses tender terbuka. ( Seolah - olah BUCG telah mendapat keistimewaan lebih awal sebelum proses tender dilakukan apabila telah wujud MoU pada April 2011.)

6. Perkara yang diketengahkan ini cuma sebahagian dari begitu banyak persoalan yang timbul dari proses tender yang digunakan. Kita bukan hanya mesti telus tetapi juga dilihat telus dalam hal ini.

7. Isu kedua yang ingin dijelaskan ialah mengenai bajet defisit. Kenyataan tempoh hari merujuk kepada pendekatan anggaran bajet berdefisit yang dibentangkan oleh Ketua Menteri Pulau Pinang dalam sidang Dewan Undangan Negeri setiap tahun. Contohnya dalam Bajet 2014, defisit sebanyak RM 255.4 juta, dalam Bajet 2013, RM 262.04 juta. Yang saya bangkitkan ialah mengapa dengan perancangan bajet defisit saban tahun, kerajaan negeri masih mahu melaksanakan projek mega sebegini yang belum pasti pulangannya apatah lagi kini Pulau Pinang mempunyai jambatan kedua?

8. Malah jika diteliti laporan Audit Negara, tanpa penjualan tanah yang meningkat drastik seperti pada tahun 2012 sehingga 303%, prestasi kewangan negeri mungkin sahaja akan mengalami defisit. Apakah tidak wajar persoalan sebegini dibangkitkan di dalam konteks projek Penang Tunnel oleh sebahagian pimpinan PR yang sibuk mengkritik projek Kidex di Selangor?

9. Nilai projek Penang Tunnel sebanyak RM 4.63 billion yang saya nyatakan tempoh hari sebenarnya bersandarkan kiraan anggaran kerana sebelum kenyataan balas YAB. Lim Guan Eng tiada sebarang pendedahan mengenai jumlah spesifik nilai projek Penang Tunnel. Saya kira dengan pendedahan YAB Ketua Menteri ini bermakna jumlah anggaran purata lebuhraya bypass di atas daratan berkaitan Penang Tunnel sepanjang 20.8 km telah menjadi sebanyak RM 129 juta/km berbanding dapatan anggaran awal RM 80.3 juta/km. Dengan kos purata Lebuhraya Kidex sebanyak RM 161 juta/km seperti yang sering dibangkitkan oleh pengkritik Tan Sri Khalid Ibrahim, bukankah wajar persoalan yang serupa dibangkitkan berkenaan projek mega Pulau Pinang ini?

10. Projek mega Pembinaan Terowong Dasar Laut dan lebuhraya yang berkaitan keseluruhannya disebut bernilai RM 6.3 billion sesungguhnya telah menimbulkan begitu banyak persoalan. Kontroversi nilai per km yang terlalu tinggi, impak alam sekitar dan lain - lain adakah pimpinan Pakatan Rakyat turut mendesak kerajaan negeri Pulau Pinang berbincang terlebih dahulu dengan kepimpinan Pakatan Rakyat. Sebagaimana desakan sebegitu rupa digunakan untuk mengkritik Tan Sri Khalid di dalam projek KIDEX. Saya lihat ianya seperti diabaikan dalam projek mega Pembinaan Terowong Dasar Laut Pulau Pinang ini.

11. Inilah premis kenyataan saya tempoh hari bahawa terdapat double standard di kalangan segelintir pimpinan Pakatan Rakyat ketika mereka mengkritik dan menghentam Tan Sri Khalid Ibrahim secara terbuka namun tidak sedemikian kepada YAB Lim Guan Eng di Pulau Pinang.

12. Malah jika diperhatikan, Tan Sri Khalid dikecam hebat oleh sebahagian pimpinan PR kerana tidak meminta kebenaran dari majlis pimpinan tertinggi PR dalam kes projek air, KIDEX, pengurusan kewangan PBT dan sebagainya sehinggakan beliau diberi surat tunjuk sebab dan diheret ke jawatankuasa disiplin PKR. Persoalan saya, apakah YAB Lim Guan Eng pernah membentangkan perancangan projek meganya kepada mesyuarat pimpinan tertinggi PR?

Diharapkan kenyataan terbaru ini dapat memberi penjelasan lebih dalam kepada kenyataan saya tempoh hari. Jua sempena Hari Lebaran ini, saya ucapkan salam Aidil Fitri Al Mubarak , Maaf Zahir Batin dan saya turut menjemput YAB Lim Guan Eng dan seluruh EXCO Kerajaan Negeri Pulau Pinang seisi keluarga ke Jamuan Aidil Fitri di Kediaman saya, No 26 Taman Pelindung Perdana Beserah Kuantan Pahang .
*********************************************************************************************
IT WOULD BE BEST FOR DAP TO LET PKR RUN AMOK IN SELANGOR ALONE.
TIME WILL REVEAL THE TRUTH.
IN THE MEANTIME LET US SEE WHAT OTHER SO-CALLED SURPRISES POPS UP.

No comments:

Can a Dead Duck come back alive?

  I HAVE NOT SEEN A MIRACLE FOR A LONG, LONG TIME. HAVE YOU SEEN ONE? ZAHID GIVEN A DNAA. NAJIS SENTENCE GIVEN A 50% DISCOUNT. ZAFRUL NOT CH...